Gudetama: Telur Pemalas Yang Popular

Gudetama adalah salah satu watak yang dicipta oleh Sanrio iaitu syarikat Jepun yang sama yang menciptakan Hello Kitty.
Perkataan “Gudetama” (ぐでたま) sebenarnya adalah gabungan daripada perkataan  ぐで (gude gude) yang bermaksud malas, dan たま (tama) yang berasal dari perkataan “tamago“, yang bermaksud telur.
Maka, Gudetama boleh diterjemah sebagai “telur yang malas”.

Lahirnya Sebiji Telur Yang Popular

Bersesuaian dengan namanya, karakter dan penampilan Gudetama adalah sebiji telur yang sentiasa dalam keadaan murung dan tiada motivasi untuk berbuat apa-apa.
Kelahiran watak comel ini bermula pada tahun 2013, apabila Sanrio mengadakan pertandingan di kalangan pekerjanya dari seluruh cawangan untuk menghasilkan sebuah watak baru yang berasaskan makanan.

Setelah menerima beberapa rekaan watak, para pekerja di Sanrio diminta untuk mengundi karakter yang paling mereka gemari. Malangnya Gudetama hanya mendapat tempat kedua sahaja bagi undian tersebut.
Kirimichan, iaitu watak  berasaskan filet ikan salmon merupakan pemenang tempat pertama, sekaligus menjadi pilihan syarikat Sanrio untuk dijadikan produk.

Keputusan Bijak yang Mengubah Semuanya

Walaupun menjadi pemenang di tempat kedua, Sanrio juga turut mengeluarkan produk berdasarkan watak Gudetama ini.
Keputusan inilah yang mencetuskan satu fenomena di luar jangka, dimana watak “telur malas” ini lebih mendapat sambutan daripada Kirimichan.
Dengan sambutan yang diterima, Gudetama kini sudah memasuki pelbagai francais media termasuklah alat permainan, komik manga, siri animasi, pakaian, dan banyak lagi.

Betapa hebatnya populariti Gudetama, sehinggakan terdapat keretapi yang bertemakan watak ini di Jepun.
Terdapat juga syarikat penerbangan yang menggunakan watak Gudetama sebagai rekaan pada badan kapal terbang terbaru mereka.

Gudetama dan Emosi Manusia

Uniknya, daya tarikan yang menjadi rahsia di sebalik populariti Gudetama bukanlah terletak pada kecomelannya semata. Namun sebaliknya yang buatkan watak ini menjadi kegilaan ramai adalah kerana karakternya yang pemalas.
Gerak tubuh,cara percakapan serta mimik muka Gudetama mampu membuatkan kita berasa geli hati, santai, perasaan mahu membelai dan mengambil berat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan gelagat Gudetama memberi kesan emosi yang sama seperti anda melihat video telatah kucing.
Erti kata lain sebenarnya watak Gudetama seakan cerminan diri kita sendiri sebagai manusia yang mahukan kebebasan untuk melakukan apa yang disukai, mahukan belaian dan dikasihi.

Maka, di kala anda sedang dalam keadaan stress atau moody,  di mana anda mahu keluar seketika dari kesibukan hidup dan luangkan fikiran.
Mungkin inilah teman yang mampu menenangkan anda: si kuning telur yang pemalas, yang hanya mahu bersenang tanpa mempedulikan hal lain.

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top