Hikikomori: Jepun vs Malaysia

Di Jepun ada satu fenomena yang dipanggil sebagai Hikikomori iaitu individu yang cenderong untuk mengasingkan diri daripada dunia luar atau berkurung dalam rumah untuk tempoh lama sehingga melebihi enam bulan.

Perkataan hikikomori berasal daripada perkataan hikikomoru (引きこもる) yang mempunyai dua kata dasar iaitu hiku (berundur) dan komoru (untuk mengekang diri sendiri). Secara literalnya perkataan hikikomoru boleh diterjemahkan kepada “untuk mengurung diri di dalam rumah”.

Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun (MHLW) telah mendefinasikan hikikomori berlaku apabila seseorang itu menjadi tertutup (reclusive) dan menghindari dunia luar selama lebih daripada enam bulan berturut-turut, dan jarang berinteraksi dengan keluarga terdekat mereka sendiri.

Hikikomori digambarkan sebagai satu fenomena sosial yang agak membimbangkan di Jepun, tambahan fenomena ini banyak berlaku pada remaja atau golongan belia yang tinggal di rumah ibu bapa mereka, tidak bekerja atau pergi ke sekolah selama berbulan-bulan mahupun bertahun.

Pada tahun 2019 sahaja, kerajaan Jepun menganggarkan terdapat sekitar 1.15 juta orang hikikomori berusia antara 15 – 64 tahun yang mengasingkan diri dari masyarakat. Kerana itulah perkataan hikikomori boleh dianggap sangat negatif di Jepun.

Masalah Mental Punca Berlaku Hikikomori

Ahli-ahli psikologi masih berteka-teki tentang punca sebenar yang menyebabkan seseorang itu mengasingkan diri daripada masyarakat.
Ada yang mengatakan golongan ini mungkin merupakan mangsa buli. Terdapat juga hipotesis bahawa mereka adalah individu yang atau tidak tahu mengatasi kemarahan dan tekanan hidup.
Boleh jadi juga isu sosial ini berlaku hasil gabungan pelbagai punca berbeza.

Terdapat NGO-NGO di Jepun yang sedia membantu dan memberikan khidmat kaunseling kepada golongan ini untuk keluar daripada masalah sebelum menjadi terlalu serius dan tidak terjadi kudokushi (mati keseorangan).

Sebenarnya tidak semua hikikomori ini hidup terlalu tertutup, kadang-kala mereka ini keluar juga rumah untuk membawa binatang peliharaan mereka berjalan-jalan atau membeli barangan keperluan.
Cumanya mereka ini selalunya akan keluar pada waktu malam. Hal ini kerana, mereka tidak mahu terserempak dengan orang mereka kenal atau terlalu berinteraksi dengan orang sekelilng.

Malaysia Berpotensi Alami Fenomena Hikikomori?

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia kini sudah masuk hari ke-28. Boleh dikatakan PKP ini seakan sama seperti fenomena hikikomori tetapi dalam sudut yang positif, berbanding dengan realiti sebenar hikikomori yang berlaku di Jepun.

Namun begitu, jika sudah terbiasa untuk duduk berkurung di rumah dalam tempoh yang lama tanpa melakukan aktiviti sosial, ia juga berpotensi mengajar rakyat Malaysia untuk menjadi Hikikomori. Tambahan pula situasi terkurung seperti PKP ini sememangnya sudah biasa diamalkan oleh golongan introvert yang tidak suka atau malu untuk bergaul dengan orang ramai.

Selain itu, individu extrovert juga turut terkesan sepanjang tempoh PKP ini kerana tidak bisa melakukan aktiviti sosial seperti biasa. Tambah-tambah mereka yang keseorangan dan berjauhan dari keluarga.

Baru-baru ini terdapat pelajar universiti yang dicemuh netizen kerana menyatakan jika duduk keseorangan berpanjangan mampu membawa kepada kemurungan. Sebenarnya tindakan para netizen ini tidak betul, kerana tahap seseorang dapat mengawal tekanan adalah berbeza. Jika pembulian siber ini berterusan, ia juga mampu mengubah pelajar tersebut untuk menjadi Hikikomori

Cara Menjaga Kesihatan Mental Sepanjang PKP

Apa yang penting di sini adalah, kita harus pandai menjaga kesihatan mental sepanjang tempoh PKP ini berlangsung. Manfaatkanlah masa yang terluang ni dengan melakukan aktiviti yang berfaedah. Satu contoh yang paling senang adalah aktiviti yang memang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia iaitu memasak. Buka sahaja YouTube, pelbagai video atau tutorial masakan disediakan, tinggal untuk dipilih dan cuba sahaja menu atau resipi tersebut.

Bagi kaum Hawa yang gemar menghias rumah, inilah masanya untuk bereksperimentasi dengan kebolehan dimiliki. Bolehlah cuba susun atur perabut yang baru supaya nampak lebih rapi dan kemas.

Selain itu, boleh juga mencuba pelbagai teknik senaman lagi-lagi yang sedang bekerja dari rumah tu. Ambil lah masa 5 minit sekejap apabila berasa letih menghadap laptop untuk buat sedikit senaman ringan agar rasa lebih segar dan bertenaga semula.

Bagi para Muslimin, sedang kita makin menghampiri bulan Ramadan, apa kata banyakkan  ibadah sunat seperti puasa sunat, baca al-Quran sebagai persedian menyambut bulan yang mulia ini. Bila dah bulan Ramadan takdelah culture shock selera anda nanti.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja boleh menjadi terapi untuk menghilangkan kebosanan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan keluarga apabila dilakukan bersama.

Dengan melakukan aktiviti begini ia dapat menenangkan jiwa seseorang, malah melalui saluran media sosial yang sama mereka boleh berinteraksi dengan pengguna lain untuk berkongsi tip serta aktiviti yang dilakukan. Anda boleh ikuti carta Bingo di bawah ini untuk semakan samada anda telah lakukan aktiviti yang sesuai untuk kesihatan mental atau tidak.

Akhir kata, terhadkan akitiviti di luar rumah dan elakkan diri daripada berkumpul. Ikutlah arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa demi menjamin kesihatan kita agar kita adalah hikikomori yang positif.

Sumber:

https://www.psychologytoday.com/us/blog/the-athletes-way/202001/is-hikikomori-extreme-social-withdrawal-global-epidemic

https://www.nippon.com/en/japan-topics/c05008/japan%E2%80%99s-hikikomori-population-could-top-10-million.html

http://www.hikikomori-news.com/?cat=38

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top