Kedatangan Awal Islam ke Jepun

Agama Islam merupakan agama minoriti di Jepun. Dari 126.8 juta orang penduduk Jepun, dianggarkan kurang 1% sahaja yang menganut agama islam. Perbincangan mengenai Islam di wilayah Asia Timur khususnya di Jepun juga tidak begitu meluas, berbeza dengan negara jirannya iaitu China. Mungkin disebabkan komuniti masyarakat beragama Islam di China jauh lebih besar berbanding Jepun.

Dari segi agama dan kepercayaan, masyarakat Jepun mempunyai kepercayaan asal iaitu Shinto dan Buddha. Majoriti penduduk Jepun berpegang dengan kepercayaan ini.

Konsep ketuhanan mereka juga bukan bersifat monoteistik, di mana, mereka menyembah pelbagai Tuhan dengan anggapan Kami 神 (konsep Tuhan dalam Jepun) boleh berubah dalam pelbagai bentuk.

Syiar Islam mula menampakkan sinarnya ke atas masyarakat Jepun melalui Mitsutaro Yamaoka pada tahun 1909, iaitu selepas beliau memeluk agama Islam dan mengerjakan haji ke Makkah dengan nama Islamnya, Omar Yamaoka. Beliau merupakan Muslim Jepun yang pertama yang mengunjungi Mekah.

Sekembalinya ke Jepun, beliau banyak berkongsi pengalamannya di Mekah dan memulakan penyebaran agama Islam dalam ceramah-ceramahnya.

Pada waktu yang sama, seorang lagi rakyat Jepun bernama Bumpachiro Ariga telah memeluk agama Islam. Beliau pergi ke Bombay, India untuk berdagang dan telah memeluk Islam setelah bergaul dengan masyarakat Islam tempatan.

Menggunakan nama Islam Ahmed Ariga, beliau menyatakan seni bina indah masjid di Bombay telah menarik perhatiannya. Beliau membuat keputusan untuk masuk ke masjid tersebut dan mengisytiharkan dirinya kini seorang beragama Islam.

Namun begitu, mengikut catatan sejarah sebenarnya Islam telah lama diperkenalkan di Jepun. Ianya bermula pada era pemerintahan Maharaja Mikado Meiji (1852-1912) yang memerintah Jepun sekitar tahun 1867-1912. Era pemerintahan ini juga merupakan permulaan kepada era Meiji di Jepun.

Pada ketika ini, hanya dua negara sahaja di Asia yang menikmati kemerdekaan, iaitu Empayar Uthmaniyyah dan juga Jepun. Pada zaman inilah Jepun mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul, Turki. Pada tahun 1889, kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengirim utusan ke Jepun dengan menumpang sebuah kapal yang bernama ‘Ertugrul’.

Islam Di Jepun Semakin Berkembang

Sehingga ke hari ini, masih tidak ada statistik rasmi yang menunjukkan jumlah sebenar bilangan orang Islam di Jepun. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Universiti Waseda, salah satu universiti yang terkenal di Jepun, pada 2016 sahaja terdapat lebih kurang 4000 rakyat Jepun yang beragama Islam.

Majoritinya merupakan generasi kedua di mana ibu atau bapa mereka berbangsa Jepun dan berkahwin dengan warga asing Muslim yang mendapat kerakyatan Jepun. Walau bagaimana pun, warga tempatan Jepun yang memeluk agama Islam masih lagi kurang.

Terdapat beberapa sumber lain juga yang mendakwa secara keseluruhannya jumlah penduduk Muslim di sana telah mencapai angka melebihi 100,000 orang. Tetapi mungkin hanya 40% atau 40,000 orang daripadanya sahaja yang mempunyai kerakyatan Jepun. Selebihnya merupakan penduduk tetap.

Namun begitu, menurut seorang imam Jepun, Ahmad Maeno ada menyatakan bahawa hampir setiap hari akan ada rakyat Jepun yang memeluk agama Islam.

Budaya Jepun dilihat selari dengan ajaran Islam

Tidak perlu dipertikai lagi dengan sikap orang Jepun yang sangat berdisiplin dari segi menjaga kebersihan dan menepati waktu. Walhal kita tahu mereka bersikap sebegini bukanlah atas tuntutan sebagai muslim.

Selain yang disebutkan di atas, kita boleh perkatakan juga tentang budaya menghormati individu mengikut nada dan pertuturan seharian. Masyarakat Jepun juga amat menitik berat adab dalam melayan tetamu.

Dalam erti kata lain, kebanyakan ajaran baginda Rasulullah SAW sudah pun dipraktikkan oleh orang Jepun dalam kehidupan seharian tanpa mereka sedari itulah ajaran Islam. Amat sayang sekali jika kita tidak dapat membantu mereka dengan meletakkan roh iman ke dalam akhlak yang sudah sedia hebat itu.

Bayangkan juga, jikalau Jepun menjadi sebuah negara Islam. Tidak mustahil mereka dapat menjadi contoh muslim terbaik dan menjadi ikutan muslim dari serata dunia. Sekali gus meletakkan Islam kembali gah di mata dunia, mengulangi kembali detik-detik kegemilangan Islam suatu masa dahulu.

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top