Antara elemen penting dalam menjalani kehidupan bagi komuniti muslim di negara minoriti Islam adalah masjid. Masjid berfungsi sebagai tempat umat Islam berkumpul dan beribadah.
Selain itu ia juga digunakan sebagai tempat pengajian agama, terutamanya bagi mereka yang baru memeluk Islam. Kebanyakan masjid di Jepun mempunyai kemudahan untuk wanita dan kanak-kanak.
Masjid menjadi tumpuan di Jepun
Di Jepun, terdapat kira-kira 50 buah masjid, sebahagian besarnya baru sahaja dibina dalam tempoh kurang dari 20 tahun.
Walaupun Jepun bukanlah negara Islam tetapi di sini juga terdapat komuniti Muslim yang rata-ratanya berasal daripada negara Timur Tengah, Pakistan, Bangladesh dan Asia Tenggara (Indonesia dan Malaysia).
Menariknya di Jepun, bagi masjid yang terletak di bandar-bandar besar seperti di Tokyo dan Kobe, struktur seni bina masjid tersebut dapat dilihat dengan jelas.
Maksud di sini adalah masjid itu memiliki elemen binaan seperti bumbung berbentuk kubah, menara masjid, ukiran bermotif islamik dan sebagainya.
Namun begitu untuk masjid di bandar-bandar kecil atau di sesebuah kawasan kejiranan, kebanyakan elemen seni bina masjid tidak kelihatan.
Ini kerana masjid-masjid ini kebanyakannya terletak di kawasan lot kedai atau bangunan kediaman. Kadang-kadang kita pun tidak perasan adanya masjid di kawasan tersebut.
Berikut antara beberapa masjid di Jepun yang terkenal bukan sahaja di kalangan komuniti Muslim di Jepun, tetapi juga pelancong-pelancong muslim yang melancong ke Jepun berkonsepkan ‘Halal Travel’.
Masjid Kobe
Masjid Kobe telah dibina pada tahun 1935 dan merupakan masjid pertama dan tertua di Jepun.
Masjid ini dibina dari hasil kutipan derma yang dikumpul oleh komuniti Muslim setempat pada ketika itu yang kebanyakannya terdiri dari bangsa Turki, Rusia dan India.
Direka oleh arkitek berbangsa Czech bernama Jan Josef Švagr, Masjid Kobe ini memiliki seni bina dengan gaya tamadun Islam di India.
Masjid ini memiliki sejarah tersendiri kerana terselamat dari dua tragedi besar yang menimpa bandar Kobe. Tragedi tersebut adalah siri pengeboman ke atas bandar Kobe oleh tentera Amerika sewaktu perang dunia ke-2. Satu lagi tragedi di mana masjid ini terselamat adalah peristiwa gempa bumi besar Hanshin pada tahun 1995 yang meranapkan bandar Kobe.
Bagi pelancong yang menziarahi masjid ini, di sekitar masjid Kobe ini juga terdapat dua kedai makanan halal yang boleh dikunjungi pelancong untuk menjamu selera.
Masjid Tokyo
Terkenal dengan panggilan Tokyo Camii, masjid ini dibina pada tahun 1938 oleh komuniti Turki di Jepun. Dikatakan Tokyo Camii ini menyerupai Masjid Biru di Turki dan pernah ditambah baik pada tahun 2000.
Selepas pembinaan Tokyo Camii ini, ianya digelar masjid tercantik di Jepun.
Seperti di Masjid Kobe, Tokyo Camii menerima kunjungan berterusan dari masyarakat Jepun yang terdiri daripada individu, kumpulan, pelajar sekolah dan universiti yang ingin mengenali Islam dan mencari ketenangan. Ini kerana masjid Tokyo ini juga menggunakan konsep ‘open mosque’.
Masjid Asakusa
Masjid Asakusa atau dikenali sebagai Masjid Dar Al-Arqam, terletak di pusat bandar Tokyo telah ditubuhkan pada tahun 1998. Bangunan empat tingkat ini mempunyai sebuah perpustakaan di tingkat bawah yang mana mempunyai pelbagai buku dalam pelbagai bahasa.
Antara aktiviti utama yang dilakukan di masjid ini adalah seperti solat lima waktu, solat Jumaat, melaksanakan nikah dan juga menguruskan jenazah. Selain ada juga kelas mengaji Al-Quran untuk kanak-kanak dan dewasa.
Masjid ini mudah untuk dikesan kerana terdapat kubah bewarna biru di bahagian atas bangunan.
Masjid Nagoya
Walaupun Masjid Kobe diiktiraf sebagai masjid pertama di Jepun, namun menurut buku Nihon Islamu-shi (Sejarah Islam Jepun) oleh Fujio Omura, sebenarnya pada sekitar tahun 1930-an lagi telah wujud tempat ibadah Islam di bandar Nagoya yang diwujudkan oleh keluarga Turki-Tatar yang berpindah dari Russia ke Nagoya.
Tetapi sayangnya bangunan ini telah hancur akibat serangan udara semasa perang dunia kedua pada 1945. Sejak dari itu lebih 50 tahun tiada masjid di bina di Nagoya sehinggalah pada tahun 1998.
Masjid Nagoya dibina hasil kumpulan dana dan derma daripada penduduk Muslim yang tinggal di kawasan itu. Masjid ini siap dibina pada tahun 1998.
Masjid Nagoya terdiri daripada bangunan empat tingkat. Tingkat pertama menempatkan tempat wuduk dan pejabat.
Tingkat kedua dijadikan sebagai ruang ibadat untuk wanita dan tingkat ketiga dan keempat sebagai ruang ibadat untuk lelaki.
Selain itu, sebuah organisasi bernama Islamic Center of Nagoya yang bertanggungjawab menguruskan masjid ini dan mereka juga telah membina satu lagi masjid iaitu Masjid Gifu di Gifu pada tahun 2008.
Masjid Gifu
Bandar Gifu yang terletak dalam wilayah Gifu adalah bandar yang terkenal sebagai kawasan industri automotif di Jepun.
Menariknya di bandar ini walaupun memiliki komuniti Muslim yang kecil, tetapi terdapat sebuah masjid iaitu Masjid Gifu dimana kedudukan masjid ini dikelilingi kawasan sawah padi serta berlatar banjaran pergunungan.
Masjid ini telah dibuka secara rasmi pada Julai 2008 dan merupakan masjid pertama di bandar Gifu. Masjid ini mempunyai elemen seni bina Timur Tengah. Kubah masjid ini yang berwarna putih akan nampak begitu cantik pada malam hari.
Selain berfungsi kepada yang komuniti Muslim yang tinggal di sekitar bandar Gifu, masjid yang dibangunkan tidak jauh daripada Universiti Gifu ini juga turut memudahkan mahasiswa Muslim dari serata dunia yang belajar di universiti tersebut untuk beribadah atau meraikan acara keagamaan.
Tanggungjawab Pelancong Muslim
Dalam kita berbangga dengan pertambahan tempat ibadah untuk umat islam di Jepun, sebagai pelancong Muslim kita memegang amanah dan tanggungjawab yang cukup berat.
Sila gunakan kemudahan masjid dan surau yang terdapat di Jepun dengan penuh disiplin dan rasa syukur.
Jagalah kebersihan masjid dan surau yang kita kunjungi dengan memulangkan semula kain telekung atau sejadah di tempat asal. Ketika berwuduk pula, gunakan air dengan cermat dan elakkan dari anda percikkan air terlalu jauh.
Usah jadikan masjid dan surau sebagai tempat untuk bermalam. Segala tingkah laku kita sebagai pelancong muslim boleh memberi samada gambaran baik atau buruk kepada agama Islam.
Sumber: Berita Harian, HIS Travel, Harian Metro, Islamic Center of Nagoya