Bila anda merancang untuk pergi Jepun, pasti anda sudah mula memikirkan apakah cenderamata yang sesuai untuk dibawa pulang. Selalunya snek adalah cenderamata yang paling menarik untuk dibawa pulang.
Tahukah anda, jika anda memuat turun aplikasi ‘Google Translate’, anda boleh mengambil gambar tulisan kanji yang ingin diterjemah dan aplikasi tersebut akan mengimbas gambar yang diambil dan menterjemah ke Bahasa pilihan anda.
Cuma anda harus pastikan bahagian tulisan yang diambil adalah jelas supaya dapat diterjemah dengan betul. Namun, seperti anda sedia maklum, terjemahan dari sistem pasti ada kekurangan tertentu.
Jadi cara lain yang anda boleh lakukan, anda boleh mencetak siap-siap tulisan kanji bagi bahan-bahan yang diharamkan untuk dimakan oleh muslim dan tunjukkan kepada pekerja kedai untuk menyemakkan bahan-bahan tersebut pada snek yang ingin anda beli.
Selain itu, anda bolehlah membeli snek-snek berikut yang telah disemak bahan-bahannya dan disahkan mesra Muslim. Namun sebolehnya, semak juga bahan-bahannya sebelum beli kerana bahan-bahan ini mungkin berubah pada bila-bila masa. Ini adalah antara produk yang halal semasa artikel ini ditulis.
1) Okaki
Salah satu brand Okaki yang terkenal adalah Tokyo Arare. Tokyo Arare adalah keropok beras tradisional Jepun yang halal. Jika anda pergi Jepun, masukkanlah keropok beras ni dalam senarai snek untuk dibawa pulang. Sesuai untuk dikongsi beramai-ramai semasa berkumpul.
2) Higashi
Higashi adalah kepingan gula manis dan tepung beras yang dihiasi dengan cantik. Higashi merupakan manisan kering yang mempunyai kelembapan yang sangat sedikit, menjadikan kehidupan rak manis ini lebih lama.
3) Samurai Ramen
Kalau anda pergi Jepun, mesti anda akan biasa nampak kedai ramen. Samurai ramen menjadi semakin popular di kalangan pelancong Muslim atau Muslim yang tinggal di sana sejak ia diperkenalkan. Ada kedai yang menghidangkannya dan ada juga yang menjualnya untuk dimasak di rumah. Kalau anda pergi Jepun dan sukakan ramen, anda wajib membeli samurai ramen ini kerana ia tiada bahan berunsurkan binatang, ikan, msg, ataupun alcohol maka sangat sesuai untuk muslim dan vegetarian.
4) Meiji Almond, Meiji Macadamia & Meiji Puding
Antara cenderamata yang popular dikalangan pelancong Muslim adalah Coklat Almond jenama Meiji, coklat Macadamia dan juga Puding. Bolehlah beli ni untuk keluarga atau rakan-rakan yang sukakan almond atau macadamia bersalut coklat. Puding juga merupakan makanan yang sangat popular di kalangan orang Jepun. Jika anda pergi Jepun, sekurang-kurangnya cubalah pudding ni walau sekali, pasti tak puas.
5) Bourbon Alfort
Siapa yang tidak pernah mendengar Bourbon Alfort. Antara keluarannya yang sangat terkenal di kalangan pelancong Malaysia, yang pergi Jepun dipanggil biskut kapal. Kerana biskutnya yang dilitupi oleh coklat bercorak kapal. Maka ia terkenal di antara pelancong Malaysia sebagai biskut kapal. Selalunya mereka akan membeli biskut kapal ini sampai penuh satu bagasi yang hanya dikhaskan untuk biskut ini kerana harganya yang agak berpatutan untuk dijadikan sebagai cenderamata jika ingin dihadiahkan kepada ramai orang.
Ada banyak lagi cenderamata yang popular dan mesra Muslim di Jepun. Untuk permulaan, anda boleh mencuba cadangan-cadangan di atas dahulu. Jika anda jumpa produk lain yang nampak menarik, anda boleh cuba google translate untuk menterjemah kandungan bahan atau dapatkan pertolongan daripada pekerja kedai dengan menunjukkan senarai-senarai yang anda tidak boleh makan. Selamat membeli-belah.