Doraemon: Watak Kegemaran Rakyat Malaysia

Sejak seminggu lepas, nama Malaysia kerap muncul betul di dada-dada akhbar di seluruh dunia. Bukan sahaja di Amerika Syarikat dan United Kingdom tetapi juga di rantau Asia.

Segalanya bermula kerana sebuah poster oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Poster tersebut menasihati agar wanita di Malaysia tidak berleter kepada pasangannya dan wanita patut pakai lipstik sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apa yang menjadi bahan ketawa adalah contoh nada bercakap yang digunakan adalah dengan nada Doraemon.

Banyak juga berita tentang isu ini sampai BuzzFeed pun turut buat liputan juga. Tidak ketinggalan, rakyat Malaysia sendiri juga ramai membuat video parodi mengenai wanita menggunakan suara Doraemon di laman sosial mereka beserta tanda pagar #wanitabukandoraemon.

Walaupun menggelikan hati, kita boleh lihat di sini betapa popularnya watak Doraemon di kalangan rakyat Malaysia sehingga dijadikan contoh di peringkat kementerian. Betul tak jika saya kata tidak kira lapisan usia, rakyat Malaysia terus dapat membayangkan gelagat Doraemon dan nada percakapannya apabila membaca poster tersebut.

Saya pasti ramai antara anda juga merupakan peminat setia animasi si kucing robot biru ini. Doraemon bukan hanya terkenal di negara Jepun bahkan di seluruh dunia.

Tetapi adakah anda tahu sejarah bagaimana bermulanya watak yang cukup ikonik ini?

Dua Mangaka Berbakat Besar


Tahukah anda, manga Doraemon sebenarnya adalah karya ciptaan dua orang mangaka, iaitu duo Hiroshi Fujimoto dan Motoo Abiko. Duo mangaka ini menggunakan nama pena Fujiko Fujio. Mereka banyak melukis manga bersama-sama sejak dari tahun 1951 hingga 1987 apabila mereka berpecah membawa haluan masing-masing.

Selepas mereka berpecah, Motoo Abiko menggunakan nama “Fujiko Fujio (A)” manakala Hiroshi Fujimoto dengan nama “Fujiko Fujio (F)”, sebelum ditukar kepada “Fujiko F. Fujio”.

Terdapat pelbagai sumber tentang bagaimana siri manga ini bemula. Antaranya, idea ini datang dari tiga kejadian yang berlaku kepada Fujimoto: Dia telah tersandung pada mainan anak perempuannya; dia terdengar ‘pergaduhan’ kucing di kejiranannya; dan dia menginginkan mesin yang dapat membantunya menghasilkan konsep manga baru. Maka dari situlah bermulanya siri manga Doraemon ini.

Sejarah Nama Doraemon

Pada mulanya Doraemon dipanggil Doraneko yang bermaksud ‘kucing terbiar’. Kemudian, untuk menjadikan watak ini memiliki personaliti sama seperti manusia, Fujiko Fujio menamakannya sebagai “Doraemon”. Perkataan “-emon” adalah nama akhir lelaki yang selalu digunakan pada zaman kuno.

Doraemon adalah robot kucing dari abad ke-22 yang bergerak ke masa silam iaitu abad ke-20 untuk membantu Nobita, dan mengubah masa sekarang untuk memperbaiki masa depan. Doraemon sebenarnya adalah milik Sewashi Nobi, generasi keempat daripada keluarga Nobita.

Dalam satu adegan yang terkenal dari manga asal yang bermula pada tahun 1969, robot kucing bewarna biru ini muncul dari laci meja Nobita. Dan dari situlah bermulanya pergembaraan Doraemon bersama Nobita.

Manga Doraemon merupakan antara manga paling laris di dunia dan telah terjual lebih daripada 100 juta naskah cetakan pada tahun 2015 sahaja.

Doraemon Bakal Berakhir?

Baru-baru ini, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa siri Doraemon ini telah sampai ke penghujungnya. Namun begitu, belum ada pengumuman rasmi lagi daripada pihak Shin-Ei Animation Co., Ltd menyatakan siri ini akan berakhir.

Mungkin khabar angin ini adalah akibat salah faham apabila pihak pengeluar filem Doraemon, Toho Co. Ltd. telah mengeluarkan satu pengumuman bahawa filem terbaru Doraemon bertajuk ‘Nobita’s New Dinosour’ yang sepatutnya ditayangkan pada 6 Mac lepas terpaksa ditunda pada 7 Ogos 2020 akibat Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Filem ini adalah filem Doraemon yang pertama meraikan 50 tahun francais Doraemon pada tahun 2020 dan bukan sebagai siri Doraemon yang terakhir.

Walaupun muncul pelbagai manga dan anime generasi baru yang hebat-hebat, masih ramai lagi yang setia membaca dan menonton Doraemon. Boleh diibaratkan siri Doraemon ini seperti filem-filem arwah Tan Sri P.Ramlee. Ia kekal relevan dan tetap menghiburkan walau sudah melalui pelbagai zaman mahupun ditonton berulang kali.

Sumber: Rocket News 24, Anime News Network, dora-world.com

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top