Maksud Tersirat Di Sebalik Itadakimasu Dan Gochisousamadeshita

Itadakimasu!!
Gochisousamadeshita!!

Kepada sesiapa yang meminati anime, drama Jepun atau budaya Jepun sendiri pasti pernah mendengar frasa-frasa ini. “Itadakimasu” disebut sebelum makan sambil merapatkan kedua tapak tangan ke hadapan (bayangkan seorang ninja berambut kuning merapatkan kedua tapak tangan sambil menyebut “itadakimasu” sebelum menikmati semangkuk ramen kegemarannya). Manakala “gochisousamadeshita” pula disebut selepas makanan yang dinikmati itu dihabiskan bersama gesture yang sama dengan “itadakimasu”. Kedua-dua frasa ini telah diketahui umum sebagai salah satu budaya yang diamalkan oleh orang Jepun, tetapi tahukah anda “itadakimasu” dan “gochisousamadeshita” ini mempunyai maksud tersirat yang mendalam? Mari saya kupaskan maksudnya.

Itadakimasu

“Itadakimasu” berasal daripada kata asas “itadaku” yang bermaksud “terima”. Namun “itadaku” hanya digunakan untuk barang/perkara yang diterima daripada sesiapa yang dihormati atau berpangkat lebih tinggi daripada kita, berbeza dengan perkataan “morau” yang membawa maksud yang sama tetapi digunakan untuk orang yang sedarjat dengan kita. (Bahasa Jepun boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk, iaitu “casual form”, “polite form”, “honorific form” dan “humble form”, bergantung kepada siapa kita bercakap. “Itadaku” termasuk dalam kategori “honorific form”, tetapi topik ini mungkin akan dibincangkan di dalam artikel lain pada masa hadapan.)

Di dalam konteks yang dibincangkan ini, “barang” yang diterima adalah makanan dah ia diterima daripada yang berkuasa memberikan makanan (rezeki), iaitu Tuhan. Jika kita susun kembali, di sebalik “itadakimasu” ada membawa maksud “saya terima makanan ini daripadaMu, Tuhan”. Di dalam interpretasi berbeza, “itadakimasu” juga boleh ditafsirkan sebagai penerimaan nyawa yang dikorbankan (contoh: ayam, lembu, sayur-sayuran dan lain-lain jenis bahan mentah) supaya makanan boleh disediakan dan pengorbanan nyawa itu membolehkan kita menyambung kehidupan. Pernahkah kita terfikir betapa beruntung dan bersyukurnya kita kepada ayam-ayam dan sayur-sayuran yang mengorbankan diri-diri mereka semata-mata untuk kita? Mungkin kedengaran agak melucukan, tetapi ia satu perspektif yang menarik untuk difikirkan.

Gochisousamadeshita

“Gochisousamadeshita” pula berasal daripada perkataan “chisou” yang membawa maksud berlari-lari, di mana dalam konteks ini ditujukan kepada usaha individu yang bertanggungjawab untuk menyediakan makanan tersebut. Manakala “go” dan “sama” ditambah kepada kata asas “chisou” menjadikannya satu perkataan hormat dan “deshita” menunjukkan perbuatan itu sudah berlaku (past tense) menunjukkan makanan sudah selesai dihabiskan.

Jadi “gochisousamadeshita” boleh ditafsirkan kepada “terima kasih di atas makanan”. Maksud tersirat yang boleh dirungkaikan di sini adalah “gochisousamadeshita” disebut sebagai satu penghormatan dan penghargaan kepada tukang masak/pembekal makanan/sesiapa yang telah berusaha untuk menyediakan makanan untuk kita menyambung kehidupan. Bukan sahaja penghargaan itu diberikan ke atas penyediaan makanan, malah ia juga diberikan kepada layanan yang diterima.

Apa yang boleh disimpulkan daripada maksud tersirat di dalam “itadakimasu” dan “gochisousamadeshita”? Kedua-dua frasa ini mengandungi maksud tersirat “bersyukur”, “penghargaan” dan “terima kasih”. Bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberikan kesempatan untuk hidup dengan makanan yang diterima. Menghargai sumber alam yang terkorban untuk kita meneruskan kehidupan. Berterima kasih kepada yang menyediakan makanan.

Ini menunjukkan budaya Jepun sangat menghargai kehidupan yang diberikan oleh Tuhan dan dipraktikkan di dalam amalan seharian yang paling penting bagi manusia untuk meneruskan hidup, iaitu makan. Budaya ini telah diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Jika kita lihat, ia tidak jauh berbeza dengan umat Islam yang membaca doa sebelum dan selepas makan, menunjukkan penghargaan dan kerendahan diri kepada Allah. Sikap selalu bersyukur ini wajib diterapkan di dalam hati setiap Muslim dan kita lihat warga Jepun juga mempunyai etika kehidupan yang menghargai kehidupan.

Siapa sangka perkataan-perkataan yang ringkas ini boleh membawa maksud yang lebih mendalam. Ini adalah satu keunikan bahasa Jepun yang menggambarkan budaya mereka sendiri. Menarik bukan? Diharapkan anda dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat daripada artikel ini dan diasimilasikan di dalam kehidupan seharian supaya sentiasa bersyukur di atas rezeki yang diterima. Saya juga berharap artikel ini dapat menarik minat anda kepada keunikan bahasa Jepun. Semoga kita berjumpa lagi di dalam artikel yang seterusnya.

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top