Maksud Tersirat Di Sebalik Itadakimasu & Gochisousamadeshita


Cakap Jepun

MAKSUD TERSIRAT FRASA JEPUN YANG ANDA PATUT TAHU

 

Kepada peminat anime, drama Jepun atau budaya Jepun sendiri pasti pernah mendengar frasa-frasa ini.
Itadakimasu disebut sebelum makan sambil merapatkan kedua tapak tangan ke hadapan (bayangkan seorang ninja berambut kuning merapatkan kedua tapak tangan sambil menyebut itadakimasu sebelum menikmati semangkuk ramen kegemarannya).
Manakala gochisousamadeshita pula disebut selepas makanan yang dinikmati itu dihabiskan bersama gesture yang sama dengan itadakimasu.
Kedua-dua frasa ini selalu diamalkan oleh orang Jepun, tetapi tahukah anda itadakimasu dan gochisousamadeshita ini mempunyai maksud tersirat?

Mari saya kupaskan maksudnya.

 

Itadakimasu

Itadakimasu berasal daripada kata asas itadaku yang bermaksud “terima”.
Namun itadaku hanya digunakan untuk barang/perkara yang diterima daripada orang yang dihormati atau berpangkat lebih tinggi daripada kita.
Berbeza dengan perkataan morau yang membawa maksud yang sama tetapi digunakan untuk orang yang sedarjat dengan kita.

Nota Kaki:
Bahasa Jepun boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk, iaitu “casual form”, “polite form”, “honorific form” dan “humble form”. Bergantung kepada siapa kita bercakap.
Itadaku termasuk dalam kategori “honorific form”, tetapi topik ini mungkin akan dibincangkan di dalam artikel lain pada masa hadapan.

Di dalam konteks yang dibincangkan ini, “barang” yang diterima adalah makanan.
Ia diterima daripada yang berkuasa memberikan makanan (rezeki), iaitu Tuhan.
Jika kita susun kembali, di sebalik itadakimasu ada membawa maksud “saya terima makanan ini daripadaMu, Tuhan”.
Di dalam interpretasi berbeza, itadakimasu juga boleh ditafsirkan sebagai penerimaan nyawa yang dikorbankan.
Contoh: ayam, lembu, sayur-sayuran dan lain-lain jenis bahan mentah, supaya makanan boleh disediakan dan pengorbanan nyawa itu membolehkan kita menyambung kehidupan.
Pernahkah kita terfikir betapa beruntung dan bersyukurnya kita bahawa ayam-ayam dan sayur-sayuran mengorbankan diri demi kita?
Mungkin kedengaran lucu, tetapi ia adalah satu perspektif yang menarik untuk kita fikirkan.

 

Gochisousamadeshita

Gochisousamadeshita pula berasal daripada perkataan chisou yang membawa maksud berlari-lari.
Di mana dalam konteks ini ditujukan kepada usaha individu yang bertanggungjawab untuk menyediakan makanan tersebut.
Manakala go dan sama ditambah kepada kata asas chisou menjadikannya satu perkataan hormat.
Manakala deshita menunjukkan perbuatan itu sudah berlaku (past tense) menunjukkan makanan sudah selesai dihabiskan.

Jadi gochisousamadeshita boleh ditafsirkan kepada “terima kasih di atas makanan”.
Maksud tersirat yang boleh dirungkaikan di sini adalah gochisousamadeshita disebut sebagai satu penghormatan dan penghargaan kepada tukang masak/pembekal makanan/sesiapa yang telah berusaha untuk menyediakan makanan untuk kita menyambung kehidupan.
Bukan sahaja penghargaan itu diberikan ke atas penyediaan makanan, malah ia juga diberikan kepada layanan yang diterima.

 

Terima Kasih

Apa yang boleh disimpulkan daripada maksud tersirat di dalam itadakimasu dan gochisousamadeshita?
Kedua-dua frasa ini mengandungi maksud “bersyukur”, “penghargaan” dan “terima kasih”.
Bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberikan kesempatan untuk hidup dengan makanan yang diterima.
Menghargai sumber alam yang terkorban untuk kita meneruskan kehidupan.
Berterima kasih kepada yang menyediakan makanan.

Ini menunjukkan budaya Jepun sangat menghargai kehidupan yang diberikan oleh Tuhan.
Dan dipraktikkan di dalam amalan seharian yang paling penting bagi manusia untuk meneruskan hidup, iaitu makan.
Budaya ini telah diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi.
Jika diamati, ia tidak jauh berbeza dengan umat Islam yang membaca doa sebelum dan selepas makan.
Tanda kita menunjukkan penghargaan dan kerendahan diri kepada Allah.
Sikap selalu bersyukur ini wajib diterapkan di dalam hati setiap Muslim.
Kita lihat warga Jepun juga mempunyai etika kehidupan yang menghargai kehidupan.

Siapa sangka perkataan-perkataan yang ringkas ini boleh membawa maksud yang lebih mendalam.
Ini adalah satu keunikan bahasa Jepun yang menggambarkan budaya mereka sendiri.

Menarik bukan?

Diharapkan anda dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat daripada artikel ini dan diasimilasikan di dalam kehidupan seharian supaya sentiasa bersyukur di atas rezeki yang diterima.
Saya juga berharap artikel ini dapat menarik minat anda kepada keunikan bahasa Jepun.
Semoga kita berjumpa lagi di dalam artikel yang seterusnya.

Arigatou Gozaimashita

FB: Amaluddin Asraruddin

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top