Persiapan Pergi Jepun Secara Backpack

Pasti ramai di antara anda sedang merancang untuk pergi Jepun secara backpack.
Untuk melancong secara backpack ni, aspek yang paling penting adalah kaedah untuk mengemas beg, betul?

Tapi setiap kali tiba masa nak kemas beg mesti rasa serabut, terutama jika ini kali pertama anda pergi Jepun.

Yelah, oleh kerana budaya dan cuacanya yang berbeza, banyak perkara perlu diambil kira, dari segi makanan, baju & alatan lain.

Akibatnya, anda mungkin terlebih bawa barang daripa yang diperlukan. Anda dah rugi caj berat bagasi di situ.

Jujurnya, saya pun begitu juga semasa pertama kali pergi Jepun. Akhirnya saya menyesal kerana terpaksa mengusung bagasi yang berat sepanjang di Jepun.

Jadi berdasarkan pengalaman dan ilmu yang telah saya perolehi, saya kongsikan tips terbaik cara untuk mengemas beg pergi Jepun.

Guna Beg Bersaiz Kecil

Cara terbaik untuk tidak terlebih bawa barang? Jangan beri diri anda ruang!

Selagi rasa muat, selagi tu la semua nak sumbat kan.

Jadi, disiplinkan diri anda untuk tetapkan saiz beg yang akan digunakan dan hanya barang yang muat sahaja yang akan dibawa.

Kalau nak bawa balik cenderahati yang banyak dari Jepun, anda boleh bawa beg boleh lipat yang boleh disimpan semasa pergi Jepun dan hanya digunakan semasa pulang ke Malaysia.

Bawa Barang Yang Perlu, Bukan Yang Mahu

Anda pergi Jepun ni cuma nak berjalan dan menikmati negara orang, bukan nak berhijrah terus.

Jadi tak perlu bawa semua barang yang ada di rumah anda. Kategorikan barangan anda kepada ‘Perlu’ atau ‘Mahu’.

Dengan cara ini, anda mudah nak asingkan barang kepada yang betul-betul perlu untuk dibawa.

Bawa Pakaian Untuk Kegunaan Seminggu Sahaja

Haa..Tips ini untuk mereka yang akan pergi lebih dari seminggu. Kalau pergi kurang seminggu tapi bawa barang macam duduk seminggu tu sila insafi diri ye.

Walaupun kita akan pergi lebih seminggu, sebenarnya kita cuma perlu bawa bekalan baju selama seminggu je.

Jangan risau, negara Jepun amat mementingkan kebersihan. Kebiasaannya setiap hotel ada bilik dobi untuk anda mencuci pakaian. Jika tiada pun, di Jepun banyak kedai mesin dobi macam di Malaysia.

Bagi backpackers, beg galas bersaiz 45L pun dah cukup untuk isi bekalan pakaian anda selama seminggu.

Baju Lapis Ganti Baju Sejuk

Baju sejuk seperti Down Jacket amat berguna lebih-lebih lagi jika anda pergi Jepun pada musim yang berhawa dingin seperti musim bunga, musim luruh dan musim sejuk.

Tetapi, sifat fizikal baju sejuk ini yang besar dan tebal selalunya akan menggunakan majoriti ruangan bagasi anda.

Antara inisiatif lain adalah dengan memakai baju secara berlapis.

Di lapisan bawah anda boleh pakai baju thermal atau biasa dipanggil long john. Pada lapisan kedua anda boleh pakai t-shirt biasa dan di lapisan atas memakai baju sweater/jaket yang nipis.

Jika anda masih tak tahan, anda boleh beli pek pemanas di mana-mana convenience stores di Jepun ataupun orang Jepun sebut ‘konbini’.

Kelebihan memakai baju berlapis-lapis ini, bila suhu mulai naik seperti di tengah hari, anda boleh memilih untuk mengeluarkan salah satu lapisan luar dan bila suhu menurun semula di malam hari, anda boleh menyarungnya semula.

Pakai Pakaian & Barangan Bersaiz Besar

Jika anda masih perlu membawa barangan tebal seperti jaket musim sejuk. Saya cadangkan anda untuk pakai atau pegang, berbanding dimasukkan ke dalam bagasi.

Sama juga untuk barangan seperti kasut dan lain-lain lagi.

Pilih Pakaian Yang Mudah Dipadan

Dengan memilih pakaian yang mudah dipadankan, anda tak perlu bawa pakaian yang banyak.

Sebagai contoh, dengan membawa 3 baju dan 3 seluar yang boleh dipadankan antara satu sama lain, anda boleh mendapat 9 padanan pakaian berbanding hanya 3, jika pakaian tersebut tidak boleh dipadankan.

Tips ni nampak biasa, tapi kesannya amat besar pada penggunaan ruang dalam bagasi anda.

Akhir kata, persiapan untuk pergi jepun ni sebenarnya lebih mudah daripada yang kita bayangkan. Anda hanya perlu ilmu dan perancangan betul, in shaa Allah trip pergi Jepun anda akan berjalan lancar.

Semoga tips ini dapat membantu agar anda dapat menikmati trip pergi Jepun anda. Selamat Pergi Jepun!

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top