Tiada Hanami Di Tahun 2020

Seperti yang diketahui ramai, musim sakura adalah salah satu perayaan kebangsaan yang paling ditunggu-tunggu setiap tahun di Jepun. Di musim ini terdapat satu budaya yang pasti tidak ditinggalkan oleh rakyat Jepun iaitu aktiviti melihat keindahan bunga sakura atau nama lainnya, hanami.

Kemeriahan budaya hanami ini sehingga ia mencetuskan kepelbagaian produk berasaskan bunga sakura. Restoran-restoran juga turut menawarkan hidangan istimewa yang terhad untuk musim ini sahaja. Antaranya kuih mochi sakura, dango sakura, kopi sakura, biskut sakura dan ais-krim sakura.

Budaya hanami ini bukan sahaja popular di kalangan warga tempatan, tetapi juga kepada pelancong asing untuk datang melancong ke Jepun. Pada tahun 2018 sahaja festival hanami telah menarik perhatian lebih dari 8 juta orang pelancong asing. Jumlah pelancong seramai ini telah menyumbang kepada ekonomi Jepun sebanyak 367.7 billion Dolar Amerika.

Namun tahun ini segalanya berubah akibat pandemik Covid-19. Dengan lebih daripada 1866 jangkitan yang dicatatkan dan 54 kematian setakat 30 Mac 2020, Kerajaan Jepun terpaksa mengambil langkah drastik menghadkan akitiviti harian penduduknya. Banyak sekolah ditutup dan pejabat diminta agar pekerjanya bekerja dari rumah.

Gabenor Tokyo, Koike Yuriko telah mengeluarkan amaran menyeru penduduk Tokyo untuk tidak keluar rumah pada hujung minggu. Walaupun begitu, amaran ini ternyata gagal menghalang Tokyoites untuk ber-hanami di sekitar taman-taman di bandar Tokyo.

Ramai yang datang ke taman untuk melihat bunga sakura dengan memakai penutup muka sebagai pencegahan. Mereka juga hanya dapat melihat bunga sakura tersebut dari laluan pejalan kaki sahaja kerana akses ke taman telah dihadang dengan tali larangan beserta notis.

Di dalam ucapannya juga, Koike Yuriko ada menyebut menghalang warga Jepun dari ber-hanami semasa musim bunga pada tahun ini seumpama menghalang rakyat Itali dari berpelukan kerana pandemik novel Covid-19. Untuk pengetahuan, di Itali mereka berpelukan ketika menyapa seseorang, sama seperti budaya berjabat tangan di negara kita. Maka, sebagaimana kekoknya rakyat Itali kerana dihalang berpelukan ketika menyapa, begitu juga rakyat Jepun akan berasa kekok jika tidak berhanami kerana sudah sebati dengan masyarakat Jepun.

Selain itu, kami di Cakap Jepun juga turut terkesan dengan pandemik Covid-19 ini. Ini kerana kami terpaksa membatalkan trip Pergi Jepun dan melihat bunga sakura bagi tahun ini. Walaupun sedih, namun kami redha dan sudah bersedia untuk merancang trip yang lebih menarik tahun hadapan.

Kepada anda yang turut bersedih kerana terpaksa membatalkan trip Pergi Jepun anda tahun ini. Jom lihat sakura bersama kami pada tahun 2021 nanti. Anda pasti takkan menyesal.

Sumber: The Vocket, The Asahi Shimbun, Berita Harian, nippon.com

Kongsi artikel ini

E-BOOK PERCUMA

JOM MULA BELAJAR BAHASA JEPUN!

TERKINI

Scroll to Top